Oct 7, 2010

Cemburu Dalam Perkahwinan


Menurut Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Lihanna Borhan, cemburu adalah sifat semula jadi.
“Dalam konteks perkahwinan, cemburu hadir kerana kita berasa kita mempunyai hak ke atas pasangan.
“Itu yang menyebabkan isteri atau suami merasakan dia perlu mengambil tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya. Apabila perkara yang menjadi syak itu benar-benar terjadi, perasaan itu akan menjadi lebih sukar.
“Akibatnya, dek kerana berasa tidak selamat dan takut kehilangan pasangan, isteri atau suami akan lebih was-was dan mudah cemburu dengan perbuatan pasangannya,” katanya.
Kurang bersetuju dengan perumpamaan cemburu tanda sayang, Lihanna menyifatkan cemburu yang positif boleh melahirkan persaingan yang sihat.
Sebaliknya, jika cemburu tidak bertempat, sudah pasti ia akan mencengkam hubungan suami isteri serta keluarga kedua-dua belah pihak.
“Bagi saya banyak lagi cara lain yang lebih romantik dan manis untuk menunjukkan kasih sayang antara suami isteri.
“Untuk membuktikan cinta dan sayang, ia perlu dilakukan dengan indah, bukan dengan sikap mengongkong, meninggikan suara dan saling menuduh.
“Kesannya nanti, hubungan suami isteri mulai retak, anak-anak keliru dan pasti wujud pihak lain yang saling menyebelahi hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar,” katanya.
Kerana itu, cemburu bukan isu remeh dalam kehidupan berumah tangga, malah gara-gara cemburu, perbalahan suami isteri boleh membawa musibah jika dibiarkan berlarutan.
Sungguhpun begitu, Lihanna tidak menolak keperluan sifat cemburu dalam setiap perhubungan.
KEGAGALAN mengurus cemburu boleh mencetuskan amarah dan dendam.
“Sebagai pasangan, kita masih perlu ambil tahu apa yang mereka lakukan, ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berjumpa.
“Tidak salah jika kita bertanya dengan baik, bukan dengan nada yang penuh curiga. Sering ungkapan kata manis dan kata sayang supaya pasangan sedar tentang tanggungjawab terhadap keluarga dan menjaga batasan pergaulan,” katanya.

1 comment:

Imddin Ahmad said...

Perasaan cemburu boleh dikatakan ada dalam setiap diri manusia. Sukar untuk dibuang.. Apatah lg bila dah berumahtangga. Ianya mungkin akan menjadi punca utama sesuatu masaalah rumahtangga itu..

http://imddinahmad.blogspot.com/