diambil dr blog Laily 
http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/
suke sgt baca blog Dc nie... bnyak sgt kata - kata semangat... n sesuatu
 yg baru yg boleh kite belajar.... ade 1 artikal nie.. cm best plk rasa 
nak kongsi... jom aku kongsikan :)
Jangan jadi mangsa keganasan emosi
Masih ingat lagi janji saya untuk bincangkan tentang keganasan emosi dan
 psikologi beberapa minggu yang lalu? Kepada yang terlepas isu 
berkaitan, saya ulang sedikit tentang maksud keganasan emosi dan 
psikologi. Keganasan psikologi dan emosi meliputi perbuatan seperti 
ugutan, penghinaan termasuk juga caci maki dan kata-kata sindiran serta 
sinis. Walaupun mangsa tidak mengalami sebarang bentuk kesan luka yang 
boleh dilihat namun mangsa boleh mengalami tekanan perasaan yang amat 
teruk. Mangsa juga boleh hilang upaya untuk mengawal emosi secara normal
 yang kesan jangka pendek atau jangka panjang boleh menyebabkan 
kemungkinan mangsa melakukan sesuatu yang di luar kawalan.
Teringat satu kes yang pernah sampai ke pengaduan saya. Seorang adik 
meminta tolong agar saya membantu kakaknya. Kakaknya seorang suri rumah 
sepenuh masa, bersuamikan seorang pemandu lori dan mempunyai empat 
cahayamata. Perkahwinan mereka berusia hampir 10 tahun. Malangnya hampir
 10 tahun itulah juga, saban hari si kakak dihujani dengan kata-kata 
nista, caci maki malah dipanggil babi oleh suaminya walaupun hanya 
disebabkan kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Si adik mengambil 
keputusan untuk bertemu dengan saya setelah satu hari, dia perasan 
kakaknya mula berperangai pelik. Si kakak menunjukkan ke arah anak 
ketiganya yang mirip rupa suaminya dan melafazkan: Aku dengar ada suara 
suruh aku cekik budak ni sampai mati…
Ya!! Ngeri dan menyeramkan tapi itu adalah sebuah kisah benar yang 
diadukan kepada saya. Jika anda masih ingat, ada banyak kes melibatkan 
ibu membunuh anak sendiri yang berlaku sebelum ini, ada yang mencekik 
leher, membelit dengan wayar seterika dan macam-macam lagi. Jika 
difikirkan, mana mungkin seorang ibu yang waras sanggup bertindak 
sedemikian.
Seorang ibu yang waras akan mengorbankan nyawanya sendiri demi anaknya 
yang tersayang. Tapi, dalam kes-kes disebutkan tadi, ibu yang bertindak 
membunuh anaknya itu sedang berada dalam keadaan emosi tidak terkawal. 
Dia gagal untuk mengawal dirinya sendiri menyebabkan dirinya terpengaruh
 dengan kata-kata yang kononnya disampaikan kepadanya. Hakikatnya, 
kata-kata itu terbit dari dalam dirinya sendiri yang tika itu bukan 
membayangkan anaknya sebaliknya seseorang yang terlalu menikam 
perasaannya dan kebanyakan kes, suami mereka sendiri.
Kenapa boleh jadi begitu? Kajian membuktikan, mereka yang terlalu 
memendam perasaan terutamanya perasaan yang berbaur antara rasa sedih, 
terluka dan marah, adalah mereka yang terlalu mudah menjadi mangsa 
keganasan emosi. Jalan terbaik ialah luahkan segala kekusutan, tekanan 
perasaan, resah gelisah malah rasa marah anda. Jangan pendam atau 
simpan. Takut? Tak boleh nak luah sebab suami lebih garang? Anda boleh 
luahkan kepada teman rapat. Paling tidak pun, luahkan di dalam diari 
atau blog. Hamburkan segala kekusutan, tekanan dan amarah anda. Ada 
tikanya, anda tak perlukan seseorang untuk memberikan maklumbalas 
terhadap luahan anda tetapi dah memadai apabila ada orang lain yang 
mendengar luahan hati anda itu.
Jika keadaan semakin rumit dan anda rasa sukar mengawal diri anda 
sendiri, cepatlah dapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital 
berdekatan. Ingat satu perkara: berjumpa pakar psikiatri bukan bererti 
anda gila. Sebaliknya anda berusaha untuk kembali menjadi seorang 
manusia yang normal dan waras sepenuhnya disebabkan kewarasan anda 
sebelum ini digugat oleh ketidaktenangan hati anda menyebabkan anda 
mengalami kecelaruan emosi. Pakar akan memberikan anda rawatan dan 
insyaAllah, anda boleh pulih sepenuhnya jika anda berkehendakkan 
sedemikian.
Kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan psikologi dan emosi, sebagai
 seorang isteri, anda boleh menggunakan peruntukan fasakh bagi 
melepaskan diri daripada derita perkahwinan anda. Sebagai contoh, 
seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah 
Persekutuan memperuntukkan: seseorang perempuan yang berkahwin mengikut 
Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan 
perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang 
berikut, antaranya bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain: (i) 
lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh 
kelakuan aniaya.
Gunakan peruntukan yang ada, sertakan sekali dengan dokumen pengesahan 
daripada pakar psikiatri yang memperakui bahawa anda adalah mangsa 
keganasan psikologi dan emosi, sertakan juga saksi-saksi bagi menyokong 
kes anda. Ingat! Tanpa pengesahan pakar psikiatri, permohonan anda sukar
 diterima walau ramai saksi yang menyokong kes anda. Paling penting dan 
harus diingat juga, pengesahan pakar adalah untuk mengesahkan keadaan 
anda yang hilang kewarasan akal dan emosi disebabkan perlakuan keganasan
 suami. Walau perakuan dah ada, anda tetap perlu bangkit daripada 
kemelut tersebut, pulihkan diri agar anda tidak perlu bergantung kepada 
ubat atau rawatan pakar psikiatri lagi. Anda perlu keluar dari masalah 
ketidakwarasan emosi untuk pastikan anda mendapat hak-hak anda yang lain
 terutamanya hak jagaan anak!! Tinggalkan kisah semalam, bukalah buku 
baru dan terus bergerak ke depan….