Oct 26, 2014

Selamat Datang Muharam




Puasa Hari Asyura
"Hari Asyura" ialah hari yang kesepuluh dari bulan Muharam. Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari yang tersebut, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

51- عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ هَذَا يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَلَمْ يَكْتُبْ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ وَأَنَا صَائِمٌ فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِرْ. (رواه البخاري)
51- Dari Mu'awiyah bin Abu Sufyan r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hari ini ialah hari Asyura,  sedang kamu tidak diwajibkan berpuasa padanya, sebaliknya aku sekarang sedang berpuasa.  Oleh itu, siapa suka berpuasa bolehlah ia berpuasa dan siapa suka berbuka maka bolehlah ia berbuka."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Puasa hari Asyura,  sunat juga disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari yang ke sembilan dari bulan Muharam,  kerana Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkannya seperti yang tersebut dalam hadith yang berikut:

52- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه مسلم وأبو داود)
52- Dari Ibn Abbas, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh (orang ramai) berpuasa padanya, sahabat-sahabat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  hari Asyura juga dimuliakan oleh kaum Yahudi dan Nasrani ..."(1)
Mendengar yang demikian, Baginda bersabda: "Apabila tiba tahun yang akan datang - Insya Allah kita akan berpuasa pula pada hari yang ke sembilan."
Rawi hadith ini berkata:  "Rasulullah s.a.w. (tidak sempat berpuasa pada hari itu) kerana Baginda telah wafat sebelum tiba tahun yang berikutnya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Menurut huraian ulama' rahimahullah, bahawa puasa hari Asyura terbahagi kepada tiga peringkat: 
Peringkat pertama: Berpuasa selama tiga hari, iaitu hari yang kesembilan, kesepuluh dan hari kesebelas.
Peringkat kedua: Berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
Peringkat ketiga: Berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja.

Umat Islam digalakkan bermurah hati pada "hari Asyura" terutama kepada diri sendiri dan anak isteri (disertakan dengan bersedekah kepada orang-orang miskin).
Ini diterangkan dalam hadith berikut:
53- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ وَسَّعَ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ. (رواه البيهقي)
53- Dan Jabir bin Abdullah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa bermurah hati dengan berbelanja lebih untuk dirinya dan anak isterinya pada hari Asyura,  nescaya Allah akan memurahkan rezekinya di sepanjang tahun itu."
(Riwayat Baihaqi)
Meskipun hadith ini dan beberapa riwayatnya yang lain dinilai sebagai hadith-hadith lemah, tetapi apabila disatukan setengahnya dengan yang lain, akan bertambah kuat,  seperti yang disebutkan oleh al-Alamah al-Sakhawi rahimahullah.

No comments: