Subhanallah..
Moga titIpan bermakna ini menjadi muhasabah kita bersama..
Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan
dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati
yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti
mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu
bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi
jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula.
Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada
dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang
ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar
di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih
cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang
lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana
hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu
agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal,
pasti cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman,
boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego
(takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya
lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta
itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih
bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang
ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau
isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan
cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapai-kapailah sang isteri
tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri
menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh
tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin
jauh. Cinta semakin rapuh.
Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami
dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit
didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak.
Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan
akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan
mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon
kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan
anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang
datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini
menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego si isteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa
atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam.
Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan
badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi
‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya
lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit,
manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling
menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja.
Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di
rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi
belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara
aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan
dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir,
berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita
susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu
lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi
tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan
madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka
cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana
pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi
tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan
kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit
sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian
untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar
hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun
sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya
cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi
ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego
yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun
fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan
mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST
(tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah
mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku.
Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra
tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda.
Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan.
Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih
dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah
lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran?
Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah
tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian
kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi
kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang
hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid
menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah –
dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi
manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan
orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman
itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk
memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan
bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan
mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran
takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila
terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan
kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah
suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya
bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan
Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan
diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi
apabila terasa kita yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah.
Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah
satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun
kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk
kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita
takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah.
Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang,
siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di
ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah
sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu
perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal,
kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang
sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati,
Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri.
Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia
hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu.
Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering
diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan.
Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!
MAAFKANKU WAHAI SUAMI
Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan
engkau tak pernah meminta
Kadang-kadang
aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan
engkau tak pernah terlena
Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah
ke sini dan pegang tangan ku
Sementara
ku cerita kehidupan isteri
Harap
dimengerti
Kadang-kadang ku
sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan
bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun
cabaran terlalu
Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi ketahui sayang, itu tidak benar
Tiada
apa yang paling ku hargai
Daripada
kehidupan manis bersama mu
Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya
ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa
syukurnya aku…
kau
pelindung ku
Kadang-kadang
berjauhan dengan mu
Ku mengerti erti rindu
Syahdu dan pilu
Bermula detik kita disatu
Ku tekad hingga kini
Menjadi suri solehah di hatimu
Maafkan
aku wahai suamiku..