CIRI SUAMI YANG BAIK
1. Berkemampuan
sebagaimana hadis Nabi Riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah yang bermaksud:
"Wahai
permuda-pemuda; barang siapa diantara kamu bernikah, maka hendaklah ia
bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat
memelihara kehormatan, tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka
hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu." Mampu yang
dimaksudkan, berupaya menyediakan tempat tinggal, saraan hidup yang
kebiasaan, serta pakaian untuk menutup aurat. Seperti memberi makan
dengan apa yang dia(suami) sendiri makan, memberi pakaian dengan apa
yang dia sendiri pakai. Bukan bermaksud memberi pakaian lelaki
kepadaisterinya, tetapi taraf kualiti sesuatu itu, yang diperuntukkan
untuk dirinya, itulah yang diperuntukkan untuk isterinya juga. Maknanya
lelaki yang bertanggung jawab. Perkara-perkara ini wajib dilaksanakan
suami dan kegagalan menyempurnakannya boleh mendatangkan kesan buruk dan
mudah berlaku perceraian.
2. Tidak Dayus
Sanggup
menjadi pembela isterinya. Boleh dijadikan sebagai ganti ayah bonda.
Sanggup melindungi wanita daripada segala bahaya dan kecelakaan yang
menimpa kerana apabila seorang wanita rela dinikahi, bererti ia rela
melepaskan dirinya daripada ayah bonda yang selama ini menjadi tempat
pergantungan hidup. Kini berpindah kepada lelaki yang bakal menjadi
suaminya.
3. Pandai menjaga darjat diri dan menepati janji
Apabila
berkata dikota dan diamalkan. Selain daripada itu suami yang baik akan
sentiasa mengajak isteri ke arah kebaikan, menjauhkan yang mungkar dan
mendahului perbuatan itu.
4. Berkebolehan didalam urusan rumahtangga.
Kebolehan
memasak, menjahit juga membasuh akan membantu kerana lelaki yang biasa
membuat kerja begini, tidak akan membebankan isterinya membuat kerja
rumah sekiranya isteri tiada kemampuan. Bukan dari jenis lelaki yang
tidak bertimbang rasa, yang sentiasa memerintahkan isterinya itu dan ini
tanpa mengira isterinya sakit atau kepenatan.(Bukan juga jalan kepada
isteri itu untuk mengsambil lewakan layanannya kepada suami itu.)
5. Mempunyai penuh kepercayaan kepada perempuan dan tidak mudah bersangka buruk.
Biasanya
apabila suami bertugas mencari nafkah maka isteri akan menjaga segala
amanah harta dan anak di rumah. Sekiranya suami tidak mempunyai
kepercayaan kepada isteri, ini bererti suami akan sentiasa menyangka
buruk.
6. Rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan.
Lelaki
begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan
serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Allah sangat tidak menyukai
manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa usaha sedangkan
kejayaan dicapai melalui usaha. (Sebenarnya secara peribadinya saya
tidak berapa setuju dengan pendapat ini, kerana saya pernah berjumpa
dengan kisah ini:[Khadijah
ra. membuka isi hati kepada suaminya dengan ucapan: "Wahai Al-Amiin,
bergembiralah! Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak maupun yang
tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah,
barang-barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu.
Engkau bebas membelanjakannya ke jalan mana yang engkau ridhoi !"
Dan
sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dia (Allah)
mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan
kekayaan". (Adh-Dhuhaa: 8)] Dan seperti yang kita ketahui
juga Khadhijah ra. telah menghabiskan hartanya demi membantu
suaminya(Rasulullah s.a.w) dalam menegakkan Islam ini. Mungkinlah
pendapat ‘memakan harta perempuan’ disini adalah sepertinya seorang
suami yang tidak melakukan apa-apa dengan bersenang-senangan
semata-mata. Dan menghabiskan harta isterinya dalam jalan sia-sia dan
syahwat pula.)
7. Mudah memaafkan.
Sifat
ini adalah sebahagian daripada sifat terpuji Rasullah ketika menegakkan
agama Islam. Oleh itu suami bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri
dan anak.Isteri agak bersifat kebudakan perlu diberi peluang kemaafan.
8. Datang daripada keturunan orang yang baik-baik lagi rajin beribadah.
Mempunyai
akhlak dan budi bahasa mulia serta sangat menghormati orang tua,
berpegangan agama lagi rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan
seperti gila atau penyakit merbahaya yang boleh membawa kepada
kesengsaraan hidup.
Inilah
serba sedikit pendapat-pendapat yang sempat saya kumpulkan. Tetapi apa
yang lebih utama dari segala hujah itu tadi ialah Agamanya. Pilihlah
yang beragama dan teguh dengan pegangan Islam ini. Tidak mengapa jika
calon suami itu terkurang sedikit dari segi keduniaannya, tetapi lebih
dari segi agamanya. Namun dalam mencari cirri-ciri suami yang baik itu,
mari kita lihat juga ciri-ciri isteri yang baik itu bagai mana pula.
Kerana tidak adil mengharapkan Allah menjodohkan kita dengan seorang
lelaki yang baik akhlaknya sedangkan diri kita sendiri sangat memandang
mudah pula pada yang demikian. Kerana Allah akan menjodohkan kamu sesuai
dengan dirimu sendiri itu bagaimana.
surah
An-Nur ayat 3, “Lelaki yang berzina tidak dinikahi melainkan dengan
perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina
itu tidak dinikahi melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki
musyrik. Demikian itu terlarang kepada orang yang beriman.”
Suami adalah cermin isteri.Isteri merupakan pantulan imej kejayaan dakwah si suami.