Aug 19, 2011

Taubat Sucikan Hati

Berkata Imam Al-Ghazali:

    "Carilah hatimu di tiga tempat; temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran,tetapi jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Andai tidak jua kau temuinya, kau carilah hatimu ketika duduk bertafakur mengingati mati. Jika tidak temui juga,maka berdoalah kepada Allah,pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak lagi mempunyai hati."


Allah mengingatkan manusia terhadap musuh dalam diri mereka yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.

Firman-Nya bermaksud:

*Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu terlalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.* (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai dan ditawan oleh syaitan, maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah dan rasul-Nya. Mereka dengan mudah mengikut telunjuk dan kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati manusia dengan sifat tercela atau mazmumah. Apabila sifat ini berputik dan bertapak pada hati manusia, maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa saja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit hati.

Oleh itu, umat Islam hendaklah menguatkan iman mereka bagi melawan serangan nafsu dan kehendak syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk menderhakai Allah.Nafsu tidak tidur atau lena untuk membuatkan kita sentiasa lalai dan leka.Tidak ada ubat bagi mengubati penyakit hati melainkan yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sunnah.

Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah.

Jika penyakit itu melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah.

Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab itu.

Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka, reda dan cinta terhadapnya.

Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah SWT dalam semua hal kehidupan.

Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan tidak boleh terlepas daripada keputusan Allah. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan.

Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripada makanan yang memudaratkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.

Thabit bin Qurrah berkata:

*Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru, dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan, tetapi tetap melemahkan badan).

*Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.Abdullah bin Mubarak berkata: Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.

Selalu saya dengar,sekiranya hati sedang gundah-gulana..bacalah al-Quran.Kerana dengan membaca al-Quran hati akan menjadi tenang. Ini kenyataan,percayalah..kalamullah tentu dapat melembutkan hati yang rawan. Mungkin anda juga pernah mendengar,kajian yang menyatakan air yang dibacakan dengan kalamullah akan membentuk cas-sac positif pada air itu. Sebab itu apabila ada majlis-majlis bacaan Yasin,ramai dikalangan kita yang membawa botol air untuk dijadikan air Yasin. Pokok yang ditaman dan diperdengarkan dengan bacaan al-Quran akan tumbuh subur berbanding pokok yang mendengar lagu-lagu rock yang menyesakkan. Inikan pula hati manusia. Yang dimiliki oleh Yang Maha Memiliki. Dia berkuasa Membalikkan hati2 kita jika Dia kehendaki. Berdoalah semoga Allah menetapkan hati2 kita,untuk terus berpegang teguh dengan taliNya..terus berada di jalanNya dan ditetapkan iman kita kepadaNya...amin

No comments: